Dapatan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 mendedahkan trend menghisap rokok tembakau dalam kalangan dewasa di negara ini adalah 19.5 peratus.
Tinjauan NHMS turut menunjukkan remaja atau golongan muda berusia 13 hingga 17 tahun menurun daripada 13.8 peratus ke 6.2 peratus. Lebih membimbangkan, penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan sehingga 14.9 peratus.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Rashidi Mohamed Pakri Mohamed berkata, biarpun menunjukkan penurunan, penggunaan rokok tembakau masih tinggi dengan mengambil kira populasi penduduk di negara ini.
"Berdasarkan populasi penduduk Malaysia berjumlah lebih 33 juta orang, lima juta adalah perokok yang majoritinya lelaki. Jumlah ini agak tinggi dan membimbangkan kerana tabiat merokok boleh memberi impak besar bukan sahaja kepada individu, malah kepada persekitaran, negara dan tenaga kerja," katanya.
Mengulas lanjut, keadaan ini menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk sektor kesihatan bagi menangani pelbagai penyakit kronik akibat daripada tabiat merokok dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Beliau berkata, biarpun menyedari pelbagai masalah yang timbul, tabiat merokok masih diteruskan antara lain berpunca daripada masalah ketagihan.
"Ketagihan berlaku apabila nikotin dalam rokok akan disedut ke paru-paru, meresap masuk dalam aliran darah dan terus dibawa ke otak. Sebaik tiba di otak, nikotin akan mencetuskan beberapa tindak balas kimia dipanggil dopamin yang mewujudkan perasaan seronok dan sedap. Sebenarnya keseronokan ini hanya bersifat sementara kerana apabila paras nikotin sudah berkurang, perokok akan berasa tegang dan gelisah iaitu kesan penarikan (withdrawal) sehingga terpaksa menyalakan rokok lagi. Masalah ketagihan agak sukar ditangani apatah lagi perokok terus berhenti tanpa menjalani sebarang rawatan dan bantuan profesional kerana risiko untuk kembali ke tabiat lama agak tinggi," katanya.
Kredit : Harian Metro